Waris Opu Daeng Perani – Marhum Mangkat di Kedah
Assalammualaikum Warahmatullahi Wabarokatuh..
Salam serta selawat buat Rasul utama Habibullah, Rasulullah Muhammad SAW serta Ahlul Bai’yt Baginda Nabi Allah.
“Allahumasoli’ala Muhammad, Wa’ali Muhammad”
Aku agak keberatan untuk memulakan posting dalam artikel ini.. Tapi setelah berfikir, Inshaallah Taala, aku usahakan juga demi pencerahan buat semua.. Acap kali ramai yang bertanyakan soalan pada aku lewat kebelakangan ini mengenai status atau gelaran ‘Tun’ yang dipakai di pangkal nama aku dan keluarga aku.. Ada yang bertanya “adakah sama atau setaraf dengan Tun yang dipakai oleh Dr Mahathir Mohammed dan semua Perdana Menteri Malaysia sebelum-sebelum beliau..?” atau adakah sama seperti gelaran-gelaran Tun-Tun dan Megat-Megat di Perak yang berketurunan dari Tun Saban dan Megat Terawis..?” – Jawapannya adalah tidak sama sekali..! Kami hanyalah orang biasa yang membawa gelaran turun temurun dari Nenda-Nenda terdahulu sebelum kami..
من اروفا نفساهو، فاقود اروفا روبباهو
Man arofa nafsahu, faqod arofa Robbahu“Barang siapa yang mengenal diri dan asal usul, maka dia mengenal Tuhan”
Seperti sabda Rasulullah SAW diatas, kita dituntut untuk mencari salasilah keluarga sekurang-kurangnya sehingga kepada 13 keturunan di atas. Tujuannya bukanlah untuk berbangga atau bersifat assobi’yah dengan kehebatan orang-orang terdahulu kerana Iman dan Ilmu itu tidak akan dapat diwarisi melalui apa cara sekali pun. Akan tetapi tujuan Baginda Rasulullah SAW menyarankan yang sedemikian supaya kita mengenal diri dan rohani sendiri selain untuk mengelakkan zina dan sumbang mahram kalau-kalau tersangkut dengan ahli keluarga sendiri melalui perkahwinan yang terlarang.
Menurut kajian salasilah yang keluarga kami usahakan yang kini mencecah hampir 13 tahun tempoh kajian, kami menemui beberapa bukti sahih yang menemukan kami dengan Opu Daeng Perani (Daeng Parani / Paroni) dengan isteri keempat beliau (sebelum mangkat) iaitu Y.A.M. Tunku Aishah Ibni D.Y.M.M. Sultan Abdullah Al Mua’zam Shah Kedah Darul Aman dari anak bersama Y.M. Che’ Puan Paduka Bonda Wan Nang Mas.
Opu Daeng Perani adalah anak kepada Opu Tendriburang Daeng Rilaga Ibni La Maddusalat Karaeng Datu Tenate iaitu pemerintah Bugis di Luwuk Sulawesi. Opu Daeng Perani adalah anak sulung dari 6 adik beradik iaitu Opu Daeng Merewah, Opu Daeng Chelak, Opu Daeng Menambun, Opu Daeng Kemasi dan seorang puteri yang bernama Datu Ri Watu yang tinggal menetap di Istana Agung Bugis Luwuk. Menurut salasilah lama tulisan Jawi, Datu Ri Watu Ibni Opu Tendriburang Daeng Rilaga itu telah berkahwin dengan Daeng Petaperangkawai Ibni Arung Palakka, Raja Bone di Sulawesi.
Telah tercatit secara sahih dalam lembaran sejarah bahawa Opu Daeng Perani 5 beradik banyak terlibat dalam kancah politik Istana di Tanah Melayu terutama di Johor, Riau, Linggi, Selangor, Negeri Sembilan, Perak dan Kedah sekitar tahun 17 masehi. Kehebatan Bugis 5 bersaudara ini telah terbukti dalam lembaran sejarah dari sudut penguasaan ketenteraan maritim dan darat.
Mengikut kajian salasilah keluarga aku dari belah Ayahanda, iainya adalah begini;
Muhammad Farul Azri ››››› Haji Muhammad Salleh ››››› Haji Hashim ››››› Haji Abdullah ››››› Lebai Ishak ›››››Tun Daeng Arif (Adinda kepada Tun Daeng Khatijah) ››››› Opu Daeng Perani (Suami kepada Tunku Aishah Ibni Sultan Abdullah Al Mua’zam Shah, Sultan Kedah Darul Aman ke-17).
Pada waktu itu, Sultan bagi negeri Kedah Darul Aman adalah Sultan Muhammad Jiwa Zainal Abidin II menggantikan Kekanda beliau Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah I (memerintah selama 3 tahun sahaja). Pada waktu itu, Sultan Muhammad Jiwa telah berjanji kepada Opu Daeng Perani jika beliau menang di dalam perang menentang Raja Kechil Siak, maka beliau akan dinikahkan bersama Tunku Aishah iaitu Adinda Tuanku sendiri dan dijanjikan tahta Negeri Kedah Darul Aman kerana pada waktu itu, Sultan Muhammad Jiwa belum lagi memperolehi cahaya mata. Apabila peperangan siri pertama dimenangi oleh angkatan Opu Daeng Perani dan Kedah, beliau telah dinikahkan dengan Tunku Aishah dan mendapat cahaya mata sulung bersama iaitu Tunku Daeng Khatijah.
Tidak lama selepas itu, Tunku Aishah mengandung pula anakanda kedua dan dalam masa yang sama Raja Kechil Siak menyerang lagi (kali kedua) bagi merebut tahta Negeri Kedah. Dalam peperangan siri kedua ini, sekali lagi angkatan perang Opu Daeng Perani telah berjaya mengalahkan angkatan Raja Kechil. Walaubagaimana pun, Opu Daeng Perani telah telah terkena bedilan meriam Raja Kechil di dadanya dan mengakibatkan beliau maut seperti yang dihikayatkan dalam Tuhfat Al-Nafis seperti yang dijanjikan Allah Taala pada waktu beliau berumur sekitar 46 tahun. Tidak lama selepas kemangkatan Opu Daeng Perani, Tunku Aishah selamat melahirkan Anakanda kedua beliau di Istana Kota Bukit Pinang dan dinamakan Tunku Daeng Arif.
Selepas kemangkatan anak Raja Bugis ini iaitu Opu Daeng Perani, gelaran ‘Ku’ telah dilucutkan dari gelaran ‘Tunku’ dan tinggal gelaran ‘Tun Daeng’ sahaja. Gelaran ‘Tun’ dikekalkan atas permintaan dari Tunku Aishah sendiri atas dasar menghormati isteri tua Daeng Perani di Johor iaitu Anakanda kepada Bendahara Tun Abas (Kerajaan Johor-Riau) dan beranakkan Temenggong Tun Abdul Jamal. Akan tetapi, pengikut-pengikut Raja Kechil Siak masih lagi berdendam dengan orang-orang Bugis dan menjadikan ahli keluarga serta keturunan Daeng Perani sebagai sasaran bunuh oleh mereka. Dan semenjak itu, tiada lagi gelaran Tun dan Daeng anak-cucu keturunan Daeng Perani di Kedah sehingga ke hari ini.
Untuk gambaran yang lebih jelas, sila rujuk gambarajah salasilah keturunan kami dari sebelah Ayahanda aku yang bernasab sehingga Tun Daeng Arif:
NOTA: Klik untuk besarkan gambar carta salasilah.
No comments:
Post a Comment